Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksNews Headline

MAJLIS PENYAMPAIAN SIJIL WATIKAH PERLANTIKAN BAGI PEGAWAI WARAN INSTITUT LATIHAN ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI

PR WATIKAH 1.jpg

PENANJONG GARISON, Khamis, 21 Oktober 2021 – Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB) telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Watikah Perlantikan bagi Pegawai Waran yang berlangsung secara dalam talian. 

Seramai 05 anggota IL ABDB telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menerima Sijil Watikah Perlantikan iaitu 11328 PW1 Roshdiman bin Omar @ Hussin, 13974 PW2 Mardini bin Haji Kasim, 14065 PW2 Md Azman bin Haji Zainal, 20836 PW2 Mas Julianah binti Murah dan 21185 PW2 Ummi Nazrah binti Chuchu 
 
Hadir selaku Tetamu Kehormat Yang Mulia Kolonel (U) Haji Haszahaidi bin Haji Ahmad Daud, Komandan IL ABDB. Turut hadir di majlis tersebut ialah Ketua Jurulatih IL ABDB, Ketua Sel Inspektorat IL ABDB, Sarjan Mejar Rejimen, Sarjan Mejar Kawad dan Yang Dipertua Mes PTB Kanan IL ABDB. 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Yang Mulia Muhd Syakir Farhan bin Haji Omar, Imam Surau Al-Hikmah, kemudian diteruskan dengan penyampaian watikah dan diikuti dengan perutusan daripada Tetamu Kehormat. 

Yang Mulia Tetamu Kehormat dalam perutusannya menekankan bahawa salah satu peranan seorang pemimpin ialah untuk mendalami ilmu yang berkaitan dengan kerohanian dan Life Skills atau kemahiran hidup. Beliau menyatakan bahawa salah satu ilmu kerohanian itu ialah Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW kerana dengan ilmu tersebut seorang pemimpin tidak akan tersasar dari tujuan dan objektif dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab dan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Beliau juga menasihati kepada anggota-anggota agar tidak berasa malu atau segan untuk belajar membaca Al-Quran terutama bagi yang kurang lancar dengan mengikuti kelas-kelas yang telah diungkayahkan oleh guru-guru agama di IL ABDB. Dengan berguru dan berusaha untuk membaca Al-Quran, Insya Allah setiap anggota akan dapat mencapai prestasi yang progresif daripada kurang lancar kepada celik Al-Quran sehinggalah khatam. Selain itu, beliau juga menekankan akan kepentingan untuk mempelajari sunnah Rasulullah SAW dengan memahami dan mengekalkan akidah dan pegangan negara iaitu Ahlul Sunnah Wal-Jamaah. Oleh sebab itulah, Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW tidak dapat dipisahkan kerana ia adalah sebagai tonggak dan pembimbing daripada sebarang kesesatan dan kemungkaran. Disamping itu, beliau juga mengingatkan kepada setiap anggota untuk sentiasa mengamalkan zikir dan selawat kerana ia adalah wadah yang dapat membebaskan umat Islam daripada sebarang kemungkaran dan penyakit berjangkit. 

Yang Mulia Tetamu Kehormat juga menekankan akan kepentingan untuk mempelajari ilmu Life Skills atau kemahiran hidup kerana ia sangat bermanfaat kepada setiap individu seperti kaedah Decision Making and Thinking Skills, Personal Skills and Interpersonal Skills yang dapat membantu seorang individu untuk menangani permasalahan kerana aspek ini melibatkan pengendalian perasaan, disiplin, rasa tanggungjawab terhadap diri dan keluarga dan pengurusan masa yang efektif. Beliau juga menyatakan bahawa ABDB sebagai sebuah organisasi yang berkembang pesat amat memerlukan cendiakiawan yang berpengetahuan, berpotensi dan terlatih dalam bidang kerjaya masing-masing dengan penerapan ilmu yang berkualiti sejajar dengan Wawasan ABDB. Justeru, sebagai anggota yang berpangkat Pegawai Waran dan juga sebagai pemimpin hendaklah menjalankan kewajipan dan tanggungjawab dengan teliti setiap masa disamping menguatkuasakan serta menjaga etika ketenteraan kepada peringkat atasan dan peringkat rendah. 

Selain itu, beliau juga mengingatkan bahawa walaupun negara pada masa kini sedang dilanda gelombang kedua pandemik COVID19 dan memberikan impak yang besar kepada ABDB namun ia bukanlah penghalang kepada setiap anggota untuk terus menjalankan tugas dengan mematuhi arahan dan garis panduan yang telah ditetapkan. Ini adalah kerana ruang kepada ancaman dan anasir-anasir negatif adalah terbuka jika anggota lalai dan leka walaupun dalam masa yang singkat. Oleh yang demikian, sebagai anggota ABDB dan juga pemimpin hendaklah menjadi contoh yang terbaik kepada bukan sahaja kepada anggota ABDB yang lainnya bahkan juga kepada seluruh rakyat Negara Brunei Darussalam. 

Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Yang Mulia Muhd Syakir Farhan bin Haji Omar, Imam Surau Al-Hikmah, kemudian diteruskan sesi bergambar ramai. 
PR WATIKAH 2.png