
BOLKIAH GARISON, Khamis, 2 Mei 2024 – Sesi taklimat kepada ibu-bapa dan penjaga bakal Rekrut Lelaki Pengambilan Ke-174 telah diadakan di Dewan Wira Seni, Bangunan Pancaragam, Bolkiah Garison.
Taklimat telah disampaikan kepada para ibu-bapa dan penjaga Bakal Rekrut Lelaki Pengambilan ke-174 oleh Kapt Zulfakhri bin Awang Ahmad, Pemangku Pegawai Memerintah Kompeni Rekrut, Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB) dan Kapt (U) Mohammad Noor Ali Hussyaini@Roy bin Haji Suhaili, Pemangku Ketua Pengambilan Genap.
Matlamat sesi taklimat tersebut diadakan adalah untuk memberi penerangan tentang latihan-latihan intensif yang akan dijalani oleh bakal-bakal rekrut serta semua larangan atau tegahan semasa latihan berjalan. Disamping itu, sesi berkenaan juga bertujuan bagi memberikan garis panduan bagi persiapan yang perlu disediakan oleh bakal-bakal rekrut lelaki. Pemangku Pegawai Memerintah, Kompeni Rekrut IL ABDB juga telah berkesempatan memberikan ucapan syabas dan tahniah kepada para ibu-bapa dan penjaga bakal Rekrut Lelaki Pengambilan ke-174 yang terpilih menjalani latihan rekrut.
