Penanjong Garison, Jumaat, 15 September 2023 – Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Kursus Asas Teknisyen Armamen Siri 2023 telah sempurna dilaksanakan bertempat di Automotive Theater Room, Practical Training Area, Cawangan Latihan Teknikal Darat, Sekolah Pertukangan Tentera, Institut Latihan Angkatan Bersenjata di Raja Brunei (CLTD SPT IL ABDB).
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah 817 Mejar Haji Mohammad Fadhil bin Dato Paduka Haji Mohammad Said, Pegawai Memerintah, Woksyop Bolkiah, Kejuruteraan Darat, Khidmat Bantuan Kombat, Tentera Darat Diraja Brunei (Wksp Bol, Kjtrn Darat, KBK TDDB). Turut hadir di majlis tersebut adalah Pegawai Latihan Teknikal, Pegawai-Pegawai Kejuruteraan Darat, Pembantu Staf Armamen Kejuruteraan Darat, Penyelia Teknikal Armamen Woksyop Bolkiah dan Penanjong serta Jurulatih-Jurulatih CLTD SPT IL ABDB.
Kursus Asas Teknisyen Armamen Siri 2023 ini dikendalikan selama enam (06) bulan bermula dari hari Isnin, 04 April 2023 hingga hari Jumaat, 15 September 2023. Objektif kursus asas ini diadakan adalah untuk melayakkan dan menjadikan peserta-peserta kursus menjadi teknisyen armamen. Kursus ini menyampaikan ilmu armamen secara teori dan kemahiran secara praktikal. Dalam kursus ini juga disampaikan langkah keselamatan dan peralatan yang sesuai digunakan semasa pembaikan pulih komponen senjata mahupun instrumen.
Tetamu Kehormat menyampaikan sijil kepada peserta-peserta kursus diikuti dengan penyampaian sijil penuntut terbaik keseluruhan kepada 53262 Soldadu Abdul Qawiy Bin Haji Lokman dari unit Wksp Pnjng Kjtrn Darat KBK TDDB.
Melalui kursus ini, peserta-peserta kursus telah layak untuk menjadi teknisyen armamen yang akan bertugas di bawah Kejuruteraan Darat di Penanjong Woksyop. Teknisyen Armamen amatlah penting dan sangat diperlukan dalam menjalankan pemeliharaan dan pembaikan kelengkapan-kelengkapan persenjataan dan instrumen berpangkalan di darat yang digunakan di ABDB.

