INSTITUT LATIHAN ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI (IL ABDB), Jumaat, 26 Mei 2023 – Majlis Penutupan Kursus Akaun Perkhidmatan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) Siri 1/2023 telah dilaksanakan dengan lancar dan sempurna yang dikendalikan oleh Cawangan Latihan Kewangan, Sekolah Pertukangan Tentera Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (CLKwgn, SPT IL ABDB).
Majlis ini telah disempurnakan oleh Leftenan Kolonel Amirul Adly bin Haji Ali, Ketua Jurulatih IL ABDB selaku Tetamu Kehormat Majlis. Turut hadir adalah Leftenan Kolonel (Udara) Pengiran Muhammad Farisan bin Pengiran Haji Metassan,Pegawai Pemerintah, SPT IL ABDB, Ketua Cawangan CLKwgn, SPT IL ABDB, Pegawai-pegawai jemputan, Sekolah Sarjan Mejar dan Jurulatih-jurulatih CLKwgn, SPT IL ABDB.
Kursus Akaun Perkhidmatan ABDB Siri 1/2023 yang bertujuan untuk melayakkan peserta kursus memegang Akaun Perkhidmatan dan Pemegang Tabung Amanah di Unit-Unit ABDB ini telah dikendalikan selama tiga minggu bermula daripada 08 Mei 2023 hingga 26 Mei 2023. Seramai tiga puluh (30) peserta kursus telahpun berjaya menamatkan kursus ini yang terdiri daripada 14 anggota dari Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), empat (04) anggota dari Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), enam (06) anggota dari Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), satu (01) anggota daripada Markas Angkatan Bersama, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MAB ABDB), dua (02) anggota daripada IL ABDB, dan tiga (03) anggota daripada Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diikuti oleh bacaan Ayat Suci Al-Quran iaitu Surah Al-Ahzab, Ayat 21 hingga 25 daripada wakil peserta kursus, 1286 Leftenan Madya Amirul Shahdani bin Jasni,TLDB daripada TLDB. Selepas itu, majlis diteruskan dengan ucapan pengulasan pencapaian peserta kursus daripada Jurulatih Pengendali Kursus iaitu 16663 Staf Sarjan Mohd Sihamuddin bin Haji Abd Rahman.
Sejurus selepas itu, majlis diteruskan dengan penyampaian sijil dan sijil Penuntut Terbaik Keseluruhan oleh Yang Mulia Tetamu Kehormat Majlis. Penuntut Terbaik Keseluruhan telah disandang oleh 1577 Leftenan Rosamunira binti Awang Roslan daripada TDDB. Semasa majlis tersebut, Yang Mulia Tetamu Kehormat telah memberikan ucapan tahniah serta menutup rasmi kursus dan menekankan kepada semua peserta kursus untuk mengamalkan sikap tegas, jujur dan amanah semasa pengendalian tugas dan berharap dapat mengaplikasikan ilmu pengetahuan yang dipelajari serta professionalisma untuk menjalankan tugas dengan teliti dan cekap serta sentiasa merujuk kepada garispandu yang telah ditetapkan demi kebaikan organisasi ABDB. Majlis diakhiri dengan bacaan doa penutup yang dibacakan oleh wakil peserta kursus, 16376 Pegawai Waran 2 (Udara) Haji Rozulhailme bin Haji Ahmad.


