PENANJONG GARISON, Jumaat, 23 Disember 2016 – Upacara Perbarisan Tamat Latihan bagi seramai 152 anggota rekrut lelaki pengambilan ke-157 telah berlangsung di Padang Kawad Institut Latihan ABDB, Penanjong Garison. Hadir selaku Pegawai Menerima Tabik Hormat ialah Yang Mulia Shaikh Haji Fadilah bin Shaikh Haji Ahmad, Setiausaha Tetap (Politik) Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.
Turut hadir Yang Mulia Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Muhammad TLDB, Pemangku Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pemerintah dan Pemangku Pemerintah Angkatan Tentera, Pengarah-Pengarah Tentera, Komandan-Komandan, Pegawai-Pegawai, anggota ABDB serta keluarga rekrut lelaki pengambilan ke-157.
Dalam upacara tersebut, Yang Mulia Pegawai Menerima Tabik Hormat telah memeriksa perbarisan dan seterusnya menyampaikan ucapan dan menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah kepada rekrut dan jurulatih terbaik. Bagi pengambilan kali ini, Rekrut Lelaki Terbaik telah disandang oleh 51669 Rekrut Md Raihan bin Haji Seruji; Kemahiran Tentera Terbaik, 51714 Rekrut Md Faizal bin Nurdin; Senjata Ringan Terbaik, 51746 Rekrut Awangku Norarman bin Pengiran Haji Tajudin; Latihan Jasmani Terbaik, 51679 Rekrut Abdul Aziz bin Haji Puteh dan Jurulatih Terbaik disandang oleh 17589 Koperal Abdul Razak bin Simpul. Sebaik saja upacara perbarisan selesai, Yang Mulia Pegawai Menerima Tabik Hormat beserta Pemangku Pemerintah ABDB, Pemerintah dan Pemangku Pemerintah Angkatan Tentera, Pengarah-Pengarah dan Komandan-Komandan berpeluang beramah mesra bersama lepasan rekrut lelaki pengambilan ke-157 dan keluarga di Dewan Hikmah, Institut Latihan ABDB.


