PENANJONG GARISON, JUMAAT 13 SEPTEMBER 2019 – Upacara penyerahan bagi rekrut lelaki pengambilan ke 165 kepada keluarga dan penjaga rekrut telah berlangsung di Padang Kawad, Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Turut hadir menyempurnakan upacara tersebut ialah Yang Mulia Timbalan Komandan Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Leftenan Kolonel Aldi bin Haji Hassan.

Bagi memulakan majlis, Pegawai Pengambilan Kompeni Rekrut, Leftenan Abdul Mu’iz Azizi bin Zulkifli melapor kepada Yang Mulia Timbalan Komandan Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei diikuti dengan ucapan beliau mengenai pentingnya menjaga disiplin sebagai seorang tentera dan juga merakam ucapan tahniah kepada anggota-anggota rekrut kerana telah berjaya menamatkan fasa 1 latihan asas ketenteraan selama 6 minggu. Bagi memberkati perjalanan balik anggota-anggota rekrut, bacaan surah Al-Fatihah beramai-ramai telah dipimpin oleh Yang Mulia Timbalan Komandan.

Dengan adanya majlis seperti ini, ianya dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara anggota Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bersama ahli keluarga dan penjaga anggota rekrut sekaligus menunjukkan sifat keprihatinan dan tanggungjawab Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei terhadap anggota-anggota serta keluarga rekrut.