PENANJONG GARISON, Khamis, 30 Januari 2020 – Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB) telah mengadakan satu sesi perjumpaan bertempat di Dewan Nikmat Penanjong Garison bersama Yang Mulia Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Sesi perjumpaan tersebut bertujuan untuk memberikan penerangan dan bermuzakarah secara langsung bersama Rekrut Lelaki Pengambilan Ke-165 yang akan menamatkan latihan asas ketenteraan pada hari Jumaat, 7 Februari 2020. 
Sesi tersebut dimulai dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Imam Syakir Farhan bin Hj Omar, Imam Institut Latihan ABDB. Semasa sesi perjumpaan tersebut, Yang Mulia Pemerintah ABDB telah menekankan empat aspek utama iaitu Profesionalisma, Disiplin, Kebajikan dan Sekuriti yang mana empat perkara ini adalah mustahak untuk diamati oleh para rekrut khususnya apabila mereka sudah menamatkan latihan ataupun ditempatkan ke unit masing-masing di dalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. 
Yang Mulia Pemerintah ABDB juga menitik-beratkan perlaksanaan segala ilmu asas yang telah dipelajari semasa latihan agar dipraktikkan di dalam perkhidmatan sebagai seorang anggota tentera yang terlatih, terutama sekali yang bersangkut-paut dengan aspek sekuriti ketenteraan.   Imej dan penampilan sebagai seorang tentera juga mesti lah dijaga bagi mengukuhkan lagi kepercayaan masyarakat sebagai contoh yang terbaik. Selain daripada itu, Yang Mulia Pemerintah ABDB menyeru agar semua anggota mengambil iktibar daripada kes-kes kesalahan disiplin termasuk kes-kes yang melibatkan anggota tentera yangmana perbuatan ini hanya akan memudaratkan diri sendiri sekaligus mencemarkan imej organisasi dan kepercayaan masyarakat.
Yang Mulia Pemerintah ABDB juga menekankan disiplin anggota agar tidak terlibat dengan pengambilan dadah sama ada di dalam mahupun di luar unit. Kebajikan anggota tentera akan sentiasa dipeduli dimana ABDB sebagai satu organisasi yang menjaga kesejahteraan semua anggota ABDB. Yang Mulia Pemerintah ABDB juga menyentuh akan kebergantungan generasi baru kepada teknologi agar tidak menyalah gunakan teknologi yang sedia ada dan perlu menilai risiko yang terkandung didalamnya kerana beliau percaya pada zaman moden ini, setiap kelakuan yang dilakukan walaupun sedikit, ianya akan mudah tersebar bukan sahaja di ABDB malahan ke seluruh Negara.
Semasa sesi tersebut Yang Mulia Pemerintah ABDB juga membukakan peluang sesi soal jawab bersama para rekrut bagi mengemukakan apa juga pandangan dan hal-hal berbangkit yang dihadapi semasa mahupun selepas menamatkan latihan. Sesi perjumpaan tersebut disudahi dengan bacaan doa selamat. Sebelum beredar daripada majlis perjumpaan tersebut, Yang Mulia Pemerintah ABDB juga mengambil peluang untuk berinteraksi dengan rekrut serta pegawai dan jurulatih kompeni rekrut sebelum menikmati jamuan yang disediakan.
1111.jpg
AQW.jpg
DFGHJK.jpg
SDFG.jpg
ZGH.jpg
U6543.jpg