PENANJONG GARISON, Rabu, 14 Ogos 2019 – Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB) telah mengadakan satu sesi perjumpaan bertempat di Dewan Nikmat Penanjong Garison bersama Yang Mulia Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Sesi perjumpaan tersebut bertujuan untuk memberikan penerangan dan bermuzakarah secara langsung bersama Rekrut Lelaki Pengambilan Ke-164 dan Rekrut Wanita Pengambilan Ke-55 yang akan menamatkan latihan asas ketenteraan pada hari Jumaat, 16 Ogos 2019.

Sesi tersebut dimulai dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh 1123 Leftenan Abdul Muiz Azizi bin Zulkifli. Semasa sesi perjumpaan tersebut, Yang Mulia Pemerintah ABDB telah menekankan empat aspek utama iaitu Profesionalisma, Disiplin, Kebajikan dan Sekuriti yang mana empat perkara ini adalah mustahak untuk diamati oleh para rekrut khususnya apabila mereka sudah menamatkan latihan ataupun ditempatkan ke unit masing-masing di dalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. 
Yang Mulia Pemerintah ABDB juga menitik-beratkan perlaksanaan segala ilmu asas yang telah dipelajari semasa latihan agar dipraktikkan di dalam perkhidmatan sebagai seorang anggota tentera yang terlatih, terutama sekali yang bersangkut-paut dengan aspek sekuriti ketenteraan.   Selain daripada itu, Yang Mulia Pemerintah ABDB juga membendung dan menegah akan pengambilan dadah dan disiplin setiap individu sama ada di dalam mahupun di luar unit mestilah dijaga setelah tamat latihan nanti.
Semasa sesi tersebut Yang Mulia Pemerintah ABDB juga membukakan peluang sesi soal jawab bersama para rekrut bagi mengemukakan apa juga pandangan dan hal-hal berbangkit yang dihadapi semasa mahupun selepas menamatkan latihan. Sesi perjumpaan tersebut disudahi dengan bacaan doa selamat.
Sebelum beredar daripada majlis perjumpaan tersebut, Yang Mulia Pemerintah ABDB juga mengambil peluang untuk membuat sesi perjumpaan bersama para Jurulatih Rekrut Kompeni IL ABDB. Yang Mulia Pemerintah ABDB telah menasihatkan agar Jurulatih menanamkan sikap sabar dan tidak mementingkan diri sendiri selama mendidik dan menjaga rekrut. Seterusnya, Yang Mulia Pemerintah ABDB juga menyatakan hasrat beliau agar tidak ada permasalahan kerana beliau percaya pada zaman moden ini, setiap kelakuan yang dilakukan walaupun sedikit, ianya akan mudah tersebar bukan sahaja di ABDB malahan ke seluruh Negara.