PENANJONG GARISON, Selasa, 12 April 2016 – Perbarisan sempena sambutan Hari Ulang Tahun Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (HUT IL ABDB) yang ke-47 tahun telah berlangsung di Padang Kawad IL ABDB.
Upacara perbarisan diketuai oleh Mej Pg Hj Nazri Amir bin Pg Dato Paduka Hj Mohd Zain. Perbarisan tersebut turut disertai oleh Pegawai-Pegawai dan warga IL ABDB tentera dan awam serta ahli-ahli kursus.Perbarisan telah dimulakan dengan menerima tabik hormat oleh Yang Mulia Komandan Institut Latihan ABDB, Kolonel Haji Abidin bin Haji Abdul Hamid, yang seterusnya menyampaikan ucapan sempena sambutan HUT IL ABDB ke 47 Tahun.
Yang Mulia Komandan dalam perutusannya telah menyentuh bahawa dalam jangka masa 47 tahun, IL ABDB telah melalui beberapa perkembangan, baik dari segi perlaksanaan latihan-latihan, sistem pentadbiran, mahu pun prasarana, selaras dengan peredaran masa di samping selari dengan hasrat dan kehendak untuk merealisasikan aspirasi ABDB. Sejajar dengan WAWASAN NEGARA 2035 iaitu ke arah ekonomi yang lebih dinamik dan berdaya tahan. Yang Mulia Komandan juga menekankan bahawa ABDB dan IL ABDB selaku unit utama dalam pembangunan kapasiti sumber manusia turut memainkan peranan yang lebih penting dan bermakna di dalam strategi keselamatan/pertahanan yang merupakan elemen utama untuk memelihara kestabilan dan keamanan negara. Dalam pada itu, IL ABDB secara langsung bertanggungjawab dalam mendidik dan melahirkan anggota-anggota tentera yang dinamik, profesional dan mantap sebagai pemangkin untuk mencapai hala tuju dan inspirasi wawasan tersebut.
Yang Mulia Komandan dalam ucapannya juga menekankan bahawa semangat dan kemahuan untuk terus maju, bersikap bertanggungjawab, jujur, komitmen yang tinggi dan semangat kenegaraan yang kukuh haruslah ditanam dan diabadikan dalam diri setiap individu. Hal ini adalah kerana IL ABDB merupakan ejen utama dalam melahirkan anggota-anggota ABDB yang terlatih, berkemahiran, berpendidikan, berkebolehan dan berdaya saing. Walau bagaimanapun, menurut Yang Mulia Komandan, untuk mencapai hasrat, impian dan inspirasi ini bukannya mudah kerana ia memerlukan pengalaman yang luas, kemahiran yang tinggi, pendidikan, komitmen, kesabaran, semangat, kemahuan. integriti dan dedikasi. Selain itu, Yang Mulia Komandan juga mengingatkan kepada semua warga IL ABDB bahawa aspek keselamatan semasa melaksanakan latihan-latihan adalah menjadi suatu keutamaan dan tidak boleh diabaikan berdasarkan garis pandu-garis pandu dan hukuman-hukuman tetap keselamatan yang telah ditetapkan.
Acara kemuncak perbarisan sambutan HUT IL ABDB Ke 47 diikuti dengan penyampaian Logo IL ABDB daripada Yang Mulia Komandan kepada Pegawai-Pegawai Memerintah Unit dan seterusnya pemasangan rasmi Logo IL ABDB bagi semua warga IL ABDB. Perbarisan disudahi dengan doa kesyukuran dan acara bergambar ramai di Padang Kawad IL ABDB.