Isnin, 24 Oktober 2022 (pagi) – Institut Latihan ABDB (IL ABDB) pada hari ini telah mengadakan Perbarisan pagi peringkat IL ABDB sebagai salah satu aktiviti bulanan bertempat di Padang Kawad IL ABDB. Perbarisan kali ini adalah perbarisan bulanan yang ke-5 melibatkan seramai 615 anggota terdiri dari seluruh anggota tentera IL ABDB termasuk ahli-ahli kursus dan Rekrut Pengambilan Lelaki ke 169 dan Rekrut Pengambilan Wanita ke 57.

Perbarisan kali ini dipimpin oleh Mejar Shahrulamirul Iqbal bin Haji Sharbini @Sarbini, Penolong Pegawai Turus, Cawangan Pendidikan dan Perkembangan Latihan, IL ABDB.

Sepertimana lazimnya, Perbarisan didahului dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Laungan “Ikrar Kami” (Ikrar IL ABDB) dengan dikuti bacaan doa yang dibacakan oleh Lans Koperal Md Syafiq Naqiuddin bin Md Zaidi, Kompeni Pentadbir IL ABDB.

Antara lain tujuan Perbarisan Bulanan IL ABDB ini diungkayahkan adalah untuk memupuk semangat berpasukan dan perpaduan di kalangan anggota-anggota IL ABDB, di samping memperkukuhkan semangat kenegaraan yang tinggi serta menanamkan etika dan disiplin untuk terus berkhidmat dengan telus dan komited pada menyumbang ke arah keamanan, kesejahteraan dan kedaulatan negara.