BANDAR SERI BEGAWAN, SABTU 1 Sept 2018 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan mengurniakan bintang-bintang kebesaran Negara Brunei Darussalam kepada 183 penerima sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-72 tahun di Istana Nurul Iman.
BANDAR SERI BEGAWAN, SABTU 1 Sept 2018 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan mengurniakan bintang-bintang kebesaran Negara Brunei Darussalam kepada 183 penerima sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-72 tahun di Istana Nurul Iman.Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula mengurniakan bintang Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Ketiga (S.S.U.B) kepada tiga orang penerima, seterusnya Darjah Paduka Seri Laila Jasa Yang Amat Berjasa Darjah Ketiga (S.L.J) kepada seorang penerima.
Manakala itu, 17 orang menerima kurnia Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Ketiga (S.M.B), empat orang menerima kurnia Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Keempat (S.U.B) terdiri daripada pegawai-pegawai dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Sementara itu seramai 135 dikurniakan Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Keempat (P.S.B) terdiri daripada pegawai-pegawai KHEU, JPM, Kementerian Pertahanan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta pihak swasta.
10782 PW1 Birosleh bin Abi daripada Cawangan Latihan Senjata Ringan, Sekolah Infantri Institut Latihan ABDB telah dikurniakan Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Keempat (P.S.B). Beliau telah berkhidmat dengan ABDB selama 26 tahun. Turut hadir bagi menyaksikan majlis tersebut ialah Yang Mulia Kolonel Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, Komandan Institut Latihan ABDB.
Majlis diberkati dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.