PENANJONG GARISON, Selasa, 07 Mac 2023 – Majlis Sambutan Malam Nisfu Sya’ban 1444 Hijrah bagi peringkat Penanjong Garison telah diadakan di Surau Al-Hikmah, Penanjong Garison pada hari ini.
Hadir di majlis tersebut ialah Yang Mulia Leftenan Kolonel Pengiran Noor Rumaizi bin Pengiran Othman, Komandan Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB). Turut hadir ialah Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai dan anggota-anggota dari unit-unit Penanjong Garison.
Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardhu Maghrib dan sembahyang sunat hajat berjemaah dan diikuti dengan bacaan Surah Yaasin sebanyak tiga kali beramai-ramai. Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan doa khas Malam Nisfu Syaaban dan sembahyang Fardhu Isya’ berjemaah. Majlis tersebut diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dan selawat qiam.
Majlis Sambutan Malam Nisfu Sya’ban turut disambut dan dimeriahkan di Surau Al-Hikmah bersukut baik bulan Sya’ban yang mulia ini semata-mata untuk mendapatkan berkat, rahmat dan pengampunan daripada Allah Subhanahu Wata’ala.
