PENANJONG GARISON, Jumaat 12 Mac 2021 – Majlis Sambutan Isra’ dan Mi’raj 1442H telah diadakan bertempat di Surau Al-Hikmah Penanjong Garison.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Mulia Kolonel (U) Haji Haszahaidi bin Haji Ahmad Daud, Komandan Institut Latihan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Turut hadir ialah Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai dan lain-lain peringkat dari unit Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Batalion Bantu Tentera Darat Diraja Brunei dan gabungan Khidmat Bantuan Kombat Tentera Darat Diraja Brunei, serta anggota-anggota rekrut.
Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan surah pilihan Al-Quran. Majlis diteruskan dengan ceramah khas yang disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Haji Azman bin Haji Musa, Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong sebagai penceramah undangan dengan tajuk ‘Sembahyang Teras Kecemerlangan Umat’. Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati daripada Tetamu Kehormat kepada penceramah undangan dan diikuti dengan menunaikan sembahyang Solat Sunat Hajat dan Solat Sunat Dhuha.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam. Majlis Sambutan Isra’ Mi’raj seumpamanya juga dikendalikan secara serentak di seluruh surau di garison dan perkhemahan ABDB bagi mengagungkan lagi peristiwa Isra’ Mi’raj di bulan Rejab sebagai salah satu sambutan acara-acara kebesaran Islam di peringkat kebangsaan.



