PENANJONG GARISON, Selasa, 15 September 2020 – Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB) telah mengadakan Majlis Perpisahan Yang Mulia Pegawai Waran Satu (SM) Awang Rashid bin Haji Abdul Rahman, Sarjan Mejar Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) pada pagi hari ini.

Yang Mulia Pegawai Waran Satu (SM) Awang Rashid bin Haji Abd Rahman terlebih dahulu memulakan perjumpaan bersama Yang Mulia Kolonel Mohammad Shafiee bin Haji Duraman, Komandan IL ABDB bertempat di Markas IL ABDB.
Yang Mulia Sarjan Mejar ABDB kemudian beredar ke Dewan Nikmat IL ABDB, Penanjong Garison dan ketibaan beliau telah disambut oleh Yang Mulia Pegawai Waran Satu (SMR) Sahrol bin Omar, Sarjan Mejar Rejimen IL ABDB, Pegawai-Pegawai Waran, PTB-PTB Kanan, PTB-PTB Rendah dan anggota-anggota Rekrut. Majlis dimulakan dengan sesi bergambar ramai bersama PTB-PTB Kanan dan PTB-PTB Rendah dan kemudian diteruskan lagi dengan sesi menandatangani lembaran kenangan.
Majlis diberkati dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dikepalai oleh Sarjan Shaikh Sharul Azhar bin Shaikh Hj Ahmad, Jabatan Agama ABDB (JAMA’AT). Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan penghargaan daripada Yang Mulia Sarjan Mejar Rejimen IL ABDB di atas dukungan dan keprihatinan Yang Mulia Sarjan Mejar ABDB. Majlis diikuti dengan penyampaian cenderahati kepada Yang Mulia Sarjan Mejar ABDB. 
Yang Mulia Sarjan Mejar ABDB juga berkesempatan menyampaikan ucapan perpisahan berunsurkan nasihat kepada PTB-PTB Kanan dan PTB-PTB Rendah untuk sentiasa mengekalkan kepimpinan yang berkualiti dan meningkatkan disiplin.