​PENANJONG GARISON, Khamis, 09 Ogos 2018 – Majlis Penutupan Kursus Kepimpinan Koperal Siri 2/2018, Cawangan Kepimpinan dan Pengurusan telah berlangsung di Pusat Evolusi IL ABDB.
Majlis tersebut telah dipengerusikan oleh Pmk PW1 Norkamal bin Hj Md Salleh, Pemangku Ketua Cawangan Kepimpinan dan Pengurusan PE IL ABDB. Seramai 47 anggota tentera berpangkat Koperal telah mengikuti kursus ini yang terdiri dari 39 anggota lelaki Angkatan Tentera dan 07 Askar Wanita serta 01 anggota daripada Pasukan Polis Diraja Brunei. Kursus ini dijalankan selama dua minggu dengan menerapkan pelajaran Etika Kepimpinan, Etika Kerja, Etika Intelek dan Etika Penerbitan.
 
Tetamu Kehormat bagi Majlis Penyampaian Sijil dan Penutupan Kursus tersebut ialah Yang Mulia, Mejar Ernie Ermawati binti Mohd Erman, Pegawai Memerintah PE IL ABDB. Yang Mulia Tetamu Kehormat dalam ucapannya menyeru agar peserta kursus “Jadikan ilmu pengetahuan yang telah dipelajari sebagai panduan dalam menjalankan tugas serta tanggungjawab dan bukannya sebagai menghadiri kursus semata-mata kerana ia akan menjadi sia-sia jika tidak diaplikasikan. Sebagai pemimpin peringkat bawahan, peserta kursus haruslah berusaha dengan gigih dan jitu ke arah membentuk perkembangan, kemahiran dan prestasi kendiri yang ideal sejajar dengan perkembangan era globalisasi dan berpandukan kepada nilai-nilai teras ABDB.”
Acara kemuncak bagi majlis tersebut ialah penyampaian sijil-sijil kepada peserta kursus dan diikuti dengan penutupan rasmi Kursus Kepimpinan Koperal Siri2/2018. Majlis disudahi dengan bacaan doa selamat dan acara bergambar ramai di Bilik Kuliah Halbi, Pusat Evolusi IL ABDB.