PENANJONG GARISON, Jumaat, 19 April 2019
-  Satu Majlis Penyampaian Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Bulan Ramadhan Tahun 1440 Hijrah/2019 Masihi Peringkat Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB) telah diadakan pada hari ini bertempat di Surau Al-Hikmah, Penanjong Garison. 
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian kurma kepada wakil-wakil anggota IL ABDB ialah Yang Mulia Leftenan Kolonel Mohammad Shafiee bin Haji Duraman, Komandan IL ABDB. 
Majlis tersebut terlebih dahulu telah dimulakan dengan aktiviti mingguan surau iaitu; tedarus Al-Quran, bacaan Ratib Al-Attas secara berjemaah dan sembahyang sunat Dhuha. Yang Mulia Komandan IL ABDB juga mengambil kesempatan untuk menyampaikan pesanan kepada seluruh warga IL ABDB supaya akan dapat memanfaatkan kurma yang diagihkan dan memastikan setiap anggota termasuk keluarga dapat menikmatinya di bulan Ramadhan nanti.
Seluruh warga IL ABDB beserta keluarga menzahirkan rasa kesyukuran dengan kurnia kurma pada tahun ini dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas kurnia kurma yang sudah setentunya akan menambah semarak dalam menyambut bulan Ramadhan yang akan datang.

DSC_0157.JPG
DSC_0169.JPG
DSC_0174.JPG
DSC_0148.JPG