
Kursus ini merupakan kursus kerjaya yang perlu dihadiri oleh anggota-anggota rumah masak dan mes di dalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yangmana objektif kursus adalah untuk mendedahkan peserta kursus dalam suasana medan peperangan, operasi dan latihan bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab serta sentiasa bersiap sedia menerima sebarang tugas dengan baik mengikut keperluan masa. Kursus ini telah dijalankan selama empat (04) minggu dan dihadiri 10 anggota yang telahpun berjaya menamatkan kursus ini yang terdiri daripada Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) dan Kementerian Pertahanan (KEMENTAH).
Hadir selaku Tetamu Kehormat bagi Majlis ini ialah Mejar Mohammad Asri bin Haji Awang Ahmad, Yang Di-Pertua Mes Pegawai Batalion Pertama TDDB (1Bn TDDB). Turut hadir adalah wakil Pegawai Pemerintah SPT IL ABDB, Pemangku Pegawai Latihan Logistik SPT IL ABDB, para jemputan dan jurulatih-jurulatih Cwgn Lthn Log, SPT IL ABDB.
Yang Mulia Tetamu Kehormat menyampaikan sijil kepada peserta-peserta kursus dan diteruskan dengan penyampaian sijil Penuntut Terbaik. Penuntut Terbaik Keseluruhan dan Penuntut Terbaik Teori disandang oleh 22065 LKpl Nur Amani’Akmal Amalina binti Kamis dari unit Kementerian Pertahanan dan Penuntut Terbaik Amali disandang oleh 17991 Kpl Muhammad Hasardi bin Haji Hassim dari unit 1Bn TDDB.
Yang Mulia Tetamu Kehormat merakamkan ucapan tahniah kepada semua perserta kursus dan menekankan kepada semua peserta kursus agar dapat melaksanakan tugas dengan profesional dan penuh dedikasi serta melaksanakan tugas dengan jujur dan ikhlas, diiringi dengan usaha yang istiqamah, penuh dengan nilai-nilai murni.


