
Hadir selaku Tetamu Kehormat bagi Majlis ini ialah 657 Lt Kol (U) Pengiran Muhammad Farisan bin Pengiran Haji Metassan, Pegawai Pemerintah SPT IL ABDB. Turut hadir adalah Timbalan Pegawai Turus Kewangan Bahagian Latihan SPT IL ABDB dan jurulatih-jurulatih CLLog SPT IL ABDB.
Kursus ini merupakan kursus kerjaya mandatori yang perlu dihadiri oleh anggota-anggota tentera berpangkat Sarjan yang bertugas di dalam unit-unit Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Peserta-peserta kursus telah diberi tunjuk ajar mengenai borang-borang perakaunan yang digunapakai oleh sub-sub unit di dalam ABDB. Melalui kursus ini juga, ianya dapat mempertingkatkan tahap pengetahuan dan kefahaman serta kemahiran bagi setiap anggota yang diamanatkan sebagai penyelenggara stor sub-sub unit di dalam ABDB.
Kursus ini telah dikendalikan selama Dua (02) minggu dan seramai 32 anggota kursus telahpun berjaya menamatkan kursus ini yang terdiri daripada Sembilan Belas (19) anggota dari Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Satu (01) anggota dari Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Tujuh (07) anggota dari Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB), dan Lima (05) anggota daripada Kementerian Pertahanan (KEMENTAH).
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan bacaan Surah An-Nisa, Ayat 60-65 yang dibacakan oleh 17688 Sjn Nazmi bin Ismail, wakil peserta kursus daripada unit Khidmat Bantuan Kombat TDDB. Majlis kemudian diteruskan dengan ulasan kursus daripada Jurulatih Pengendali kursus, 16949 PW2 Mohd Sumardy bin Sulaiman. Sejurus selepas itu, majlis diteruskan dengan penyampaian sijil dan diteruskan dengan ucapan daripada Yang Mulia Tetamu Kehormat.
Yang Mulia Tetamu Kehormat telah menzahirkan ucapan tahniah kepada peserta-peserta kursus diatas usaha dan dedikasi yang ditunjukkan sepanjang kursus dijalankan dan menekankan kepada semua peserta kursus agar dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas serta sentiasa bersiap sedia menerima sebarang tugas dengan baik mengikut keperluan semasa diiringi dengan usaha yang istiqamah, penuh dengan nilai-nilai murni.
Majlis perasmian penutupan kursus diakhiri dengan bacaan doa penutup dan diteruskan dengan sesi bergambar ramai.






