PENANJONG GARISON, JUMAAT 25 NOVEMBER 2016. Majlis Penutupan Kursus Asas Bahasa Melayu Sesi 2016 telah berlangsung di Bilik Mahkota Lounge,Pusat Evolusi, Institut Latihan ABDB. Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Leftenan Kolonel Pengiran Sharifuddin bin Pengiran Haji Yusof, Timbalan Komandan Institut Latihan ABDB. Turut hadir ialah Yang Mulia Mejar Ernie Ermawati binti Mohd Erman, Pegawai Memerintah Pusat Evolusi, pegawai-pegawai jemputan, PTB-PTB Kanan dan guru-guru.
Kursus ini telah dijalankan selama 3 minggu, iaitu bermula pada 07 November 2016 hingga 25 November 2016, khusus untuk anggota tentera pinjaman luar negara (loan service) yang sedang berkhidmat dalam ABDB. Seramai 06 orang telah mengikuti kursus ini, iaitu seorang anggota tentera dari Akademi Pertahanan ABDB, dua orang tentera dari TDDB dan tiga orang awam. Melalui kursus ini, peserta kursus dapat mengenali adat dan budaya masyarakat Brunei. Di samping itu, peserta kursus juga diajar agar berkebolehan untuk berkomunikasi menggunakan struktur asas tatabahasa bahasa Melayu dengan baik sama ada secara lisan mahupun bertulis. Pelbagai aktiviti telah diungkayahkan bagi mencapai objektif kursus seperti latihan menulis, bertutur, mendengar, membaca, ujian, nyanyian dan lawatan sambil belajar.
Majlis dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah dan diikuti dengan ucapan daripada wakil peserta kursus, iaitu Leftenan Kolonel Nafeesa Khan. Ini diikuti dengan penyampaian sijil kepada peserta kursus dan ucapan penutup kursus oleh Yang Mulia Tetamu Kehormat. Anugerah Penuntut Terbaik Keseluruhan telah disandang oleh Leftenan Kolonel Nafeesa Khan daripada TDDB. Majlis pada hari tersebut disudahi dengan bacaan doa selamat dan sesi bergambar ramai.
