PENANJONG GARISON, Khamis, 02 Mei 2019 – Majlis Penutup Kursus PTB Kanan Kerani Siri 2/2018 telah diadakan di Mes Pegawai Waran, Staf Sarjan dan Sarjan Penanjong Garison. Majlis Penutup Kursus telah dirasmikan oleh 706 Mej Ruhaizmi bin Hj Rusli, Pegawai Memerintah Kompeni Pentadbir, Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei selaku Tetamu Kehormat Majlis dan diiringi oleh 983 Kapten Majiidah binti Hj Sidek, Ketua Cawangan Latihan Kerani, Sekolah Pertukangan Tentera, Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Jemputan-jemputan Khas serta Peserta Kursus PTB Kanan Kerani Siri 2/2018.
 
Seramai 21 anggota peserta kursus terdiri daripada 06 anggota dari Tentera Darat Diraja Brunei, 12 anggota dari Kementerian Pertahanan dan 03 anggota dari Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah berjaya menamatkan serta lulus bagi Kursus PTB Kanan Kerani Siri 2/2018.
 
Selepas ucapan daripada Pengerusi Majlis, 17131 Sjn Amirul Akramin bin Hj Affende, Tetamu Kehormat telah menyampaikan Sijil kepada Peserta-peserta Kursus PTB Kanan Kerani Siri 2/2018 dan seterusnya menyampaikan sijil bagi Penuntut Terbaik Akademik kepada 17131 Sjn Amirul Akramin bin Hj Affende daripada Batalion Bantu Tentera Darat Diraja Brunei, Penuntut Terbaik Amali kepada 16108 Sjn Md Burhanuddin bin Hj Ahmad daripada Unit Teknologi Maklumat Pertahanan, Kementerian Pertahanan dan akhir sekali Penuntut Terbaik Keseluruhan kepada 15827 Sjn Ahmad Hambali bin Yahya daripada Markas Angkatan Bersama, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
 
Selepas penyampaian sijil, Tetamu kehormat telah memberikan ucapan dimana beliau telah menekankan beberapa perkara yang perlu diambil perhatian selaku seorang PTB Kanan Kerani. Dalam ucapan tersebut beliau telah menyentuh dan mengingatkan agar kesemua peserta kursus sentiasa peka terhadap
Staff Duties, merujuk Hukuman-Hukuman Tetap serta membuang sifat malu untuk bertanya apatah lagi meminta bantuan untuk menyemak semula atau
proof reading hasil kerja yang dibuat sebelum dihadapkan ke Pegawai Atasan.
 
Tetamu Kehormat memaklumkan bahawa kesemua Peserta Kursus PTB Kanan Kerani Siri 2/2018 adalah peserta kursus yang terbaik. Di akhir ucapan beliau menekankan agar setiap anggota terutama yang berjawatan PTB Kanan Kerani hendaklah mengelakkan daripada sifat sombong kerana sifat sedemikian boleh merosakan pentadbiran dalam organisasi dimana anggota tersebut bertugas dan khasnya dalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.