PUSAT EVOLUSI, INSTITUT LATIHAN ABDB, ISNIN 17 OKTOBER 2016Majlis Penutup Kursus bagi Kursus Kepimpinan dan Pengurusan Pegawai Waran Sesi 2016 telah berlangsung di Bilik Kuliah Halbi, Pusat Evolusi Institut Latihan ABDB. Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Kolonel Awang Khairul Hamed bin Awang Haji Lampoh, Komandan Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Turut hadir pada pagi ini ialah Pegawai-Pegawai Jemputan, PTB-PTB Kanan serta Guru-Guru. Kursus ini telah dijalankan selama 12 minggu iaitu bermula pada 25hb Julai 2016 hingga 14hb Oktober 2016 dengan penyertaan seramai 40 anggota daripada unit-unit Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan 2 anggota daripada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.

Selama tempoh kursus tersebut, Cawangan Kepimpinan dan Pengurusan telah menyerapkan Leadership Development Module daripada Singapura diikuti dengan penyerapan Kursus Familiarisasi Kesihatan dan Keselamatan Kerja (KKK) bagi PTB Kanan pada minggu terakhir kursus ini.
Majlis pagi ini dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah yang diketuai oleh PW2 Nasran bin Abd Jalil dan kemudian diteruskan dengan ucapan daripada wakil Ketua Penuntut, PW2 Mohd Junie bin Hj Mohd Tahir. Setelah itu, Pegawai Memerintah Pusat Evolusi, Mej Ernie Ermawati binti Mohd Erman menjemput Yang Mulia Tetamu Kehormat untuk menyampaikan sijil kepada peserta kursus dan seterusnya memberikan ucapan. Pada kursus ini, beberapa penghargaan telah diberikan kepada peserta kursus atas hasil usaha mereka antaranya ialah, sijil bagi Penuntut Terbaik Akademik, Penuntut Terbaik Amali, Penuntut Terbaik Penerbitan Kertas Kerja, Penuntut Terbaik Pembentangan, Sindiket Terbaik dan Penuntut Terbaik Keseluruhan.
Dalam ucapan Yang Mulia Tetamu Kehormat, beliau memberikan ucapan tahniah kepada semua peserta kursus terutama sekali penerima-penerima anugerah di atas pencapaian mereka. Beliau juga turut mengingatkan peserta kursus agar membawa dan memperaktikan segala ilmu dan nilai tambah yang dipelajari disepanjang kursus tersebut sekembali mereka ke unit nanti. Selesai ucapan daripada Yang Mulia Tetamu Kehormat, majlis disudahi dengan bacaan doa penutup kursus daripada wakil peserta kursus.