
PENANJONG GARISON, Khamis, 08 Julai 2021 – Cawangan Latihan Peperangan Hutan Sekolah Infantri Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah mengadakan Majlis Penutup Kursus Ikhtiar Hidup Pertempuran Sesi 2021 yang bertempat di Bilik Teater 2 Sekolah Infantri Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Kursus Ikhtiar Hidup Pertempuran Sesi 2021 dari 27 Mei 2021 hingga 08 Julai 2021 dan telah dihadiri seramai 14 anggota terdiri daripada 01 anggota dari Unit Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei, 04 anggota dari Unit Batalion Ketiga Tentera Darat Diraja Brunei, 01 anggota dari Unit Tentera Udara Diraja Brunei dan 08 anggota dari Unit Rejimen Pasukan Khas.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah daripada JAMAAT dan Penyampaian Pengelasan Kursus daripada Pengendali Kursus Ikhtiar Hidup Pertempuran Sesi 2021. Majlis penyampaian lambang-lambang dan sijil-sijil disempurnakan oleh Ketua Cawangan Latihan Peperangan Hutan kepada semua peserta kursus dan juga penyampaian sijil kepada Peserta Kursus Terbaik Amali yang disandang oleh 50121 Kpl Muhammad Fadlullah Jahrey bin Bakri dari Unit Rejimen Pasukan Khas. Manakala Peserta Kursus Terbaik Jasmani, Terbaik Teori sekaligus merangkumi Terbaik Keseluruhan disandang oleh 51201 Lkpl Abraham bin Jumat dari Unit Rejimen Pasukan Khas. Majlis diteruskan dengan penutupan rasmi kursus yang disempurnakan oleh Ketua Cawangan Latihan Peperangan Hutan dan diteruskan dengan bacaan doa penutup serta sesi bergambar.


