PENANJONG GARISON, KHAMIS, 14 MAC 2019
- Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil bagi
Junior Officer Tactic Course 2018 (JOTC 2018) telah sempurna dilaksanakan di Mes Pegawai, Penanjong Garison. Seramai 15 pegawai ABDB telah berjaya menamatkan kursus tersebut yang terdiri daripada 8 pegawai dari Tentera Darat Diraja Brunei, 3 pegawai dari Tentera Laut Diraja Brunei dan 4 pegawai dari Kementerian Pertahanan.

Tetamu kehormat bagi majlis tersebut ialah Yang Mulia Leftenan Kolonel Mohammad Shafiee Bin Hj Duraman, Komandan Institut Latihan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai-Pegawai jemputan khas serta Pegawai-Pegawai Kanan Institut Latihan ABDB.
 
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Lt Mohd. Farid bin Mohd. Raffi, daripada Jabatan Agama ABDB dan salah seorang penuntut kursus, sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Di-Pertua Penuntut, Lt Dya Md. Bakhit bin Haji Mohammed, TLDB.
 
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada penuntut-penuntut kursus dan Anugerah Penuntut Terbaik disandang oleh Lt Dk (Dr) Nurhayatul Filzah binti Pg Damit, Pegawai Penyelidik daripada Pusat Optima Kecergasan Tentera. Majlis kemudian diteruskan lagi dengan ucapan daripada Tetamu Kehormat Majlis dan perasmian penutup kursus
JOTC 2018.
 
Tetamu Kehormat Majlis, dalam ucapan beliau, telah menekankan dua perkara penting iaitu agar kesemua anggota kursus mempraktikkan ilmu yang telah dipelajari dan mengaplikasikannya didalam tugasan di unit masing-masing. Disamping itu juga, beliau mengingatkan bahawa kejayaan yang akan diperolehi ketika melakukan apa jua pekerjaan adalah berpandukan dan berbalik kepada asas yang betul. 
 
JOTC dikendalikan selama 07 minggu bermula dari 02 Januari 2019 hingga 20 Februari 2019 dan merupakan kursus mandatori bagi Pegawai-Pegawai yang layak untuk kenaikan pangkat Leftenan ke Kapten. Kusus ini dibahagikan kepada lima fasa iaitu fasa membaca peta, fasa semboyan, fasa doktrin, fasa perancangan sub-unit dan fasa perancangan unit (I-MAP dan O-MAP).
 
Majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat dan seterusnya menikmati jamuan ringan dan sesi bergambar ramai bersama Tetamu Kehormat Majlis.