PENANJONG GARISON, KHAMIS, 03 MEI 2018.   Institut Latihan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB) telah mengadakan Majlis Penghargaan Regional Jungle Warfare Symposium 2018 (RJWS 2018) di Mess PW, SSjn dan Sjn, Penanjong Garison. Tujuan majlis tersebut diadakan adalah untuk menghargai penglibatan semua pihak yang telah menjayakanRJWS 2018.


Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah kedua-dua Pengerusi Bersama RJWS 2018 iaitu Komandan IL ABDB, Yang Mulia Kolonel Haji Mohammad Haszaimi Bin Bol Hassan dan British Defence Advisor ke Negara Brunei Darussalam, Yang Mulia Colonel Mike Page. Turut Hadir ialah Pegawai-Pegawai IL ABDB dan British Forces Brunei (BFB), Pemangku RSM, Pemangku DSM dan PTB-PTB Kanan. Dalam ucapan penghargaan, Yang Mulia Komandan IL ABDB menyampaikan rasa syukur kehadrat Allah SWT diatas kejayaan perlaksanaan RJWS 2018. Kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama dan persahabatan yang kukuh diantara IL ABDB dan BFB. Beliau juga menekankan bahawa RJWS 2018 tidak akan berjalan dengan lancar tanpa usaha gigih daripada kesemua pihak dalam menjalankan peranan, tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Yang Mulia British Defence Advisor ke Negara Brunei Darussalam pula menekankan bahawa kesemua anggota yang terlibat patut merasa bangga diatas kejayaan RJWS 2018 yang merupakan hasil daripada buah fikiran dan tenaga kerja mereka sendiri. Nasihat beliau ialah agar persiapan awal harus dilaksanakan oleh kesemua pihak bagi RJWS yang seterusnya. Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil-sijil penghargaan kepada anggota-anggota yang terlibat sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan sesi bergambar ramai.