Institut Latihan ABDB, Penanjong Garison, 06 Ogos 2018 – Institut Latihan ABDB sekali lagi mengukir sejarah dengan mengadakan Kursus Pentadbiran pertama kalinya dijalankan bagi peringkat Pegawai-pegawai. Majlis pembukaan kursus tersebut telah diadakan di Sekolah Infantri Penanjong Garison, hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Memerintah, Sekolah Pertukangan Tentera, Institut Latihan ABDB, Mejar Ubaidy bin Mohd Umbu. Dalam ucapan rasmi pembukaan kursus tetamu kehormat Majlis, beliau menekan kepentingan menuntut ilmu untuk diterapkan dan diaplikasikan di unit masing-masing. Kursus ini diamanahkan pengendaliannya oleh Cawangan Latihan Kerani di Sekolah Pertukangan Tentera, Institut latihan ABDB.
Seramai 08 orang ahli kursus, yang terdiri dari Pegawai-pegawai, akan menjalani Kursus Pegawai Pentadbir Rejimental ABDB 2018 yang akan dijalankan selama 4 minggu. Ada pun tujuan kursus ini dijalankan ialah untuk meningkatkan kemahiran pengurusan sumber tenaga manusia dan penggunaan sumber semaksimanya. Objektif utama kursus ialah untuk menyampaikan pengajaran yang berbentuk pengenalan dan pendedahan bagi Pegawai-pegawai Muda yang bakal memegang jawatan Penolong Timbalan Pegawai Turus (PT3) setiap unit dan yang terlibat dalam pengurusan sumber manusia. Ianya juga adalah untuk memberikan panduan asas pengurusan dan pentadbiran semasa dalam organisasi.