PENANJONG GARISON, Isnin, 10 Oktober 2016. Majlis Pembukaan Kursus Taktik Pegawai Muda bagi Tahun 2016 Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB) telah berlangsung di Sekolah Infantri IL ABDB.
Majlis tersebut telah dipengerusikan oleh Yang Mulia Mejar Pg Haji Abdul Malek bin Pg Zaidi selaku Pemangku Pegawai Pemerintah Sekolah Infantri IL ABDB. Seramai 24 Pegawai-Pegawai Muda berpangkat Leftenan telah mengikuti kursus ini yang terdiri daripada 16 pegawai lelaki dan 10 pegawai wanita daripada pelbagai unit.
Kursus ini pertama kalinya diadakan bagi menggantikan skim fasa kedua Peperiksaan Kenaikan Pangkat Leftenan – Kapten sebagai latihan kerjaya dalam mencapai kelayakan bagi kenaikan pangkat ke Kapten. Tujuan utama kursus ini adalah untuk mempersiapkan pegawai-pegawai muda bagi sumbangan yang efektif melalui proses perancangan diperingkat sub-unit dan unit yang meliputi kepada 3 perkara latihan iaitu Prinsip Asas dan Fungsi Bantuan, Perancangan Peringkat Sub-Unit dan Unit dan Perlaksanaan Operasi.
Tetamu Kehormat bagi majlis pembukaan tersebut ialah Yang Mulia Mejar Pg Noor Rumaizi bin Pg Othman, Ketua Jurulatih IL ABDB. Yang Mulia Tetamu Kehormat dalam ucapannya telah menjelaskan bahawa kursus ini bertujuan untuk melatih pegawai-pegawai muda khususnya daripada unit Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) untuk menjalankan peranan sebagai kakitangan di dalam aras Kompeni, Skuadron dan Markas Batalion. Ia juga bertujuan untuk mengembangkan para pegawai Kapten dengan pemahaman dan kemahiran dalam bidang taktikal untuk membolehkan mereka memenuhi peranan utama yang selaras dengan pangkat Kapten dalam perancangan pertempuran (Combat Planning) sehingga ke tahap batalion dengan berkesan.
Acara kemuncak bagi majlis tersebut diikuti dengan pembukaan rasmi Kursus Taktik Pegawai Muda bagi Tahun 2016 Majlis disudahi dengan doa selamat dan acara bergambar ramai di Padang Kawad, Sekolah Infantri IL ABDB.