PENANJONG GARISON, KHAMIS, 11 JANUARI 2018.  Majlis pembukaan bagi Kursus Ketua Kompeni siri 4/2017 telahpun disempurnakan di Sekolah Infantri, Institut Latihan ABDB pada hari Khamis, 11 Januari 2018. Hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis tersebut adalah Lt Kol Pg Rumaizi bin Pg Othman, Ketua Jurulatih Institut Latihan ABDB.
Kursus tersebut akan diadakan selama 12 minggu iaitu bermula dari 8 Januari hingga 30 Mac 2018. Ianya adalah kali ke-4 diadakan dan dikelolakan oleh Sekolah Infantri, Institut Latihan ABDB. Seramai 11 pegawai-pegawai berpangkat Kpt dan Mej terdiri dari TDDB, TUDB dan RPK akan menjalani kursus tersebut setelah lulus dalam pemeriksaan awal seperti IFA, MST dan BMI.
Tujuan kursus ini diadakan adalah untuk melatih pegawai-pegawai tersebut dalam merancang dan melaksanakan operasi diperingkat kompeni dan meningkatkan pengetahuan taktik bagi memastikan mereka bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab diperingkat yang lebih tinggi dan juga tugas-tugasan seterusnya.
Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Kpt Abd Mujib bin Hj Japar, salah seorang dari penuntut kursus dan diikuti dengan bacaan Surah An-Nisa. Kemudian majlis diteruskan dengan ucapan dari Tetamu Kehormat.
Dalam ucapan beliau, antara lain, beliau menarankan agar penuntut-penuntut kursus untuk sentiasa peka dengan peredaran dan evolusi suasana operasi yang semakin mencabar, yang setentutnya memerlukan kemahiran yang sangat tinggi dan penyusaian diri, agar ABDB sentiasa mempunyai tahap siap sedia yang tinggi dalam menangani apa jua bentuk ancaman.
Oleh yang demikian, ABDB setentunya memerlukan pegawai-pegawai yang mempunyai kualiti yang tinggi dan terlatih. Seterusnya, bagi memberkati majlis, doa selamat telah dibacakan dan majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai.