PENANJONG GARISON, 30 NOVEMBER 2016 - Pada hari ini Majlis Pembentangan Projek Kursus Asas Otomotif Teknisyen Siri 23/2016 telah berlangsung di Practical Training Area (PTA) Otomotif Cawangan Latihan Teknikal Darat, Sekolah Pertukangan Tentera Institut Latihan ABDB pada jam 0830 pagi.
Majlis telah disempurnakan oleh 566 Mejar Siti Norlelawati binti Hj Emran selaku Pegawai Memerintah SPT IL ABDB. Majlis ini juga turut dihadiri 682 Mejar Alinah binti Hj Hussin, Pegawai Memerintah CLTD SPT IL ABDB, Pegawai Latihan Teknikal CLTD, Pegawai-pegawai jemputan dari Polis Diraja Brunei, Guru-Guru dari Institute of Brunei Technical Education (IBTE), Ketua Jurulatih Cawangan Latihan Otomotif serta Jurulatih – Jurulatih dari unit-unit ABDB.
Seramai 8 orang peserta mengikuti kursus ini iaitu 4 PTB Rendah dari unit Kejuruteraan Darat dan 4 peringkat rendah unit Polis Diraja Brunei. Sesi pembentangan projek adalah salah satu pembelajaran di dalam kursus ini yang mana peserta kursus dibahagikan kepada 3 kumpulan dan diberi 3 topik pembentangan yang berbeza.
Setiap projek adalah berkaitan dengan teknologi Otomotif. Pembentangan secara berkumpulan ini bukan sahaja mempamerkan keberkesanan, kefahaman dan kemahiran peserta kursus dalam bidang pelajaran asas otomotif yang telah mereka pelajari selama enam bulan berkursus di Otomotif CLTD, tetapi juga menilai kemahiran dan keyakinan setiap individu dalam memberi taklimat. Taklimat berakhir pada kira-kira jam 1100 pagi. Majlis diakhiri dengan bergambar ramai.


