PENANJONG GARISON, Isnin, 03 Februari 2020 – Bagi memartabatkan pembacaan Al-Quran dikalangan para anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Majlis Khatam Al-Quran bagi Rekrut Lelaki Pengambilan ke-165 telah diungkayahkan di Surau Al-Hikmah.

Majlis Khatam Al-Quran ini diadakan sebagai acara keagamaan yang telah dirancang sebelum para rekrut menamatkan sesi latihan di Upacara Perbarisan Tamat Latihan bagi Rekrut Lelaki Pengambilan ke–165 pada hari Jumaat, 07 Februari 2020.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Leftenan Kolonel Aldi bin Hj Hassan, Timbalan Komandan, Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, pegawai-pegawai serta ahli tetap IL ABDB. 
Majlis Khatam Al-Quran menghimpunkan seramai 261 orang pembaca Al-Quran daripada Rekrut Lelaki Pengambilan ke-165. Dengan mengadakan majlis seumpama ini akan memberikan dorongan dan semangat kepada para rekrut untuk celik Al-Quran serta menyuntik elemen kerohanian kepada semua anggota agar segala tanggungjawab yang diamanahkan dapat dipikul dan dilaksanakan dengan ikhlas dan tawaduq disamping mendapatkan keberkatan daripada Allah Subhannahu Wa Ta’ala.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh 18032 Kpl Nazirul bin Hj Asmat, diteruskan dengan bacaan surah-surah Al-Quran, Takhtim dan Zikir Marhaban. Majlis diselajurkan dengan solat fardhu Asar berjemaah.