PENANJONG GARISON, Jumaat, 02 April 2021 – Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB) telah melangsungkan Majlis Kenaikan Pangkat bagi PTB-PTB Rendah dan PTB-PTB Kanan di dua tempat berasing.
Majlis kenaikan bagi PTB-PTB Rendah telah diadakan di Markas IL ABDB, manakala majlis kenaikan bagi PTB-PTB Kanan kemudiannya telah diadakan di Mes Pegawai Waran, Staf Sarjan & Sarjan, Penanjong Garison. Jumlah bagi PTB-PTB Rendah, seramai 14 anggota manakala PTB-PTB Kanan yang dinaikan pangkat adalah seramai 46 anggota.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Kolonel (U) Haji Haszahaidi bin Haji Ahmad Daud, Komandan Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB) bersama Isteri. Turut hadir bagi majlis tersebut ialah Yang Mulia Leftenan Kolonel Aldi bin Haji Hassan, Timbalan Komandan IL ABDB dan Isteri, Yang Mulia Leftenan Kolonel Amirul Adly bin Haji Ali, Ketua Jurulatih IL ABDB, Pegawai Pemerintah dan Memerintah Sub-Unit IL ABDB, Pegawai-Pegawai Jemputan, Sarjan Mejar Rejimen IL ABDB dan Isteri, Sarjan Mejar Garison dan Isteri, keluarga yang diraikan dan Ahli-ahli tetap Pegawai Waran dan PTB-PTB Kanan Institut Latihan ABDB.
Kedua-dua majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan penyampaian pangkat oleh Tetamu Kehormat Majlis. Majlis diteruskan dengan bacaan doa penutup dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.




