
– Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB) telah menerima lawatan dari Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Awam Kementerian Pertahanan melalui Program Induksi Kementerian Pertahanan Siri 1/2019.
Rombongan lawatan terdiri daripada 25 orang Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Awam Bahagian III dan ke bawah yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Khairun bin Shabuddin, Penyelia Pejabat, Jabatanarah Pentadbiran dan Tenaga Manusia (JPTM) Kementerian Pertahanan.
Lawatan ini adalah salah satu program yang dimuatkan di dalam Program Induksi Kementerian Pertahanan Siri 1/2019 bertujuan untuk memberikan pendedahan dan penerangan secara dekat kepada peserta-peserta rombongan lawatan mengenai latihan-latihan ketenteraan yang dijalankan di IL ABDB.
Aturcara lawatan dimulakan dengan sesi taklimat mengenai latarbelakang dan struktur organisasi IL ABDB yang disampaikan oleh 1036 Lt Hamizah binti Haji Kasim, Pegawai Pendidikan, Pusat Evolusi IL ABDB. Lawatan diteruskan dengan melawat ke Kompleks FIBUA dan diberikan penerangan secara ringkas berkenaan dengan kemudahan-kemudahan yang disediakan bagi latihan ketenteraan.
Rombongan lawatan juga berpeluang untuk melihat secara dekat kemudahan-kemudahan latihan ketenteraan iaitu melihat demonstrasi tatacara pengendalian menembak Mertak dan berpeluang membuat tatacara menembak menggunakan senjata-senjata yang terdapat di Pusat Latihan Simulasi atau Training Simulation Centre (TSC).
Lawatan diakhiri dengan sesi bergambar ramai dan menikmati jamuan.



