PENANJONG GARISON, Selasa, 27 Oktober 2020 – Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (Pemerintah ABDB) dan rombongan telah mengadakan lawatan Pemeriksaan Akhir ke Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB) pada pagi ini. Turut serta menyertai rombongan tersebut ialah Ketua Staf Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pengarah-Pengarah Angkatan Tentera, Pengarah Kewangan dan Perolehan dan Pengarah Pembangunan dan Perkhidmatan Kerja.Ketibaan Pemerintah ABDB di Markas IL ADBD telah disambut oleh Kolonel (U) Haji Haszahaidi bin Hj Ahmad Daud, Komandan IL ABDB dan Timbalan Komandan berserta pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai IL ABDB.
Lawatan Pemeriksaan Pemerintah ABDB tertumpu kepada beberapa tempat penting di Institut Latihan seperti Cawangan Latihan Semboyan (CLS), Pusat Evolusi (PE), Sekolah Pertukangan Tentera (SPT), Cawangan Latihan Kerani dan Sekolah Infantri (SI). Pemerintah ABDB dan rombongan juga mengambil kesempatan untuk berkunjung ke Pondok Belajar (Squat Hut) untuk menyaksikan ahli peserta kursus Ketua Platun dan Platun Sarjan membuat Ujian Penyampaian Perintah Operasi dan peserta kursus yang lain. Lawatan ke tempat-tempat tersebut adalah bertujuan untuk melihat prasarana bilik kuliah serta kelengkapan bagi kegunaan para Jurulatih, guru-guru dan peserta kursus.
Pemeriksaan di Institut Latihan ini juga meliputi pemeriksaan terhadap kesiap-siagaan jurulatih dalam mendidik peserta kursus di samping menilai kualiti-kualiti pengajaran dan pembelajaran yang disalurkan. Kepentingan prasarana yang kondusif amatlah bermanafaat dalam memberikan keselesaan dan kesejahteraan terhadap peserta kursus agar akan dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pembelajaran. Pemeriksaan terhadap Institut Latihan bermula dari 27 Ogos 2020 hingga 27 Oktober 2020.
Lawatan Pemeriksaan Pemerintah ABDB berakhir di Mes Pegawai Penanjong Garison bagi menikmati jamuan tengahari serta sesi bergambar ramai bersama pegawai-pegawai IL ABDB.


