PENANJONG GARISON, KHAMIS, 29 NOVEMBER 2018 - Yang Mulia Kolonel Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, Komandan Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pegawai Pemerintah Sekolah Infantri Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta Sarjan Mejar Kawad Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada hari ini telah berpeluang untuk melawat ke LP348 iaitu lokasi EKSESAIS PAHLAWAN MUDA yang dilaksanakan oleh ahli-ahli Kursus Penyelia dan Pengawas Padang Tembak Siri 3/2018 yang dikendalikan oleh Sekolah Infantri Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada hari ini.
Eksesais ini telah bermula pada 26 November 2018 dan akan berakhir pada 03 Disember 2018. Kunjungan Yang Mulia Komandan telah disambut oleh Ketua Cawangan Latihan Senjata Ringan dan Berat Kapten Khairul Ariffin bin Awang Adanan selaku Pegawai Pengendali Eksesais. Lawatan dimulakan dengan Taklimat Eksesais yang disampaikan oleh Pegawai Pengendali Kursus dan seterusnya menyaksikan latihan seperti Latihan Snap dan CQB (Lorong Hutan).
Di penghujung lawatan, Yang Mulia Komandan telah berkesempatan untuk beramah mesra dan memberikan kata-kata nasihat serta motivasi kepada Jurulatih dan ahli-ahli kursus. Di antara kata-kata nasihat dan motivasi yang disampaikan semasa sesi ramah mesra tersebut, Yang Mulia Komandan telah menekankan agar semua ahli kursus untuk memanfaatkan dan bersungguh-sungguh untuk mengambil peluang bagi meraih ilmu pengetahuan tentang pengendalian padang tembak semasa eksesais itu dilaksanakan. Lawatan ini jua menunjukkan akan komitment dan keperihatinan pihak atasan dalam memastikan mutu dan piawaian pengendalian kursus-kursus dan latihan di Institut Latihan.



