PENANJONG GARISON, JUMAAT 17 Rejab 1443H bersamaan 18hb Februari 2022 - Majlis penutup resmi Kursus Kuartermaster Sarjan Rejimen Sesi 2021 telah lancar dan sempurna dilaksanakan secara dalam talian.

Hadir selaku Tetamu Kehormat dalam majlis tersebut ialah 657 Lt Kol (U) Pg Muhammad Farisan bin Pg Hj Metassan, Pegawai Pemerintah Sekolah Pertukangan Tentera, Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Turut hadir dalam sama-sama memeriahkan majlis tersebut adalah terdiri daripada jemputan-jemputan khas daripada unit-unit, Sekolah Sarjan Mejar Sekolah Pertukangan Tentera, Pegawai Latihan, Jurulatih Kanan serta jurulatih-jurulatih Cawangan Latihan Logistik, Sekolah Pertukangan Tentera, Institut Latihan ABDB.
Kursus Kuartermaster Sarjan Regimen Sesi 2021 ini telah dihadiri oleh 05 anggota yang terdiri dari 03 anggota daripada Tentera Darat Diraja Brunei, 01 anggota daripada Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan 01 anggota daripada Kementerian Pertahanan yang mana kursus ini berjalan selama 6 minggu bermula dari hari Isnin, 10hb Januari 2022 sehingga Jumaat, 18hb Februari 2022. Kursus ini adalah merupakan kursus kerjaya yang perlu dihadiri oleh anggota-anggota yang bertugas di dalam unit-unit Kuartermaster di dalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang berpangkat Staf Sarjan dan Pegawai Waran dan sebahagianya juga turut dihadiri oleh anggota-anggota yang mempunyai perjawatan tersebut di dalam unit anggota berkenaan bagi melayakkan diri untuk menjawat jawatan sebagai Kuartermaster Sarjan Rejimen termasuklah kelayakan-kelayakan bagi kenaikan pangkat mengikut Struktur Perkembangan Kerjaya (SPK) Am.
Melalui kursus ini, peserta-peserta kursus dibentuk untuk menambah nilai pengetahuan dan penekanan terhadap peranan dan tanggungjawab sebagai seorang Kuartermaster Sarjan Rejimen dalam pengurusan keperluan logistik, kemahiran dalam penguasaan perakaunan stor dan pengurusan pentadbiran. Secara keseluruhan kursus ini menyasarkan matlamat utama dalam pengurusan pembekalan dan kawalan aset-aset atau harta benda kerajaan dengan lebih efisien, efektif, proaktif dan inovatif.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-fatihah yang dipimpin oleh 16949 SSjn Muhammad Sumardy bin Sulaiman dan seterusnya ucapan daripada jurulatih pengendali kursus Kuartermaster Sarjan Rejimen Sesi 2021 yang disampaikan oleh 11713 PW2 Sukarni bin Tasrif.
Turut memberi ucapan ialah Yang Mulia Tetamu Kehormat dan beliau menzahirkan ucapan taniah kepada para peserta kursus di atas usaha dan dedikasi yang ditunjukkan disepanjang kursus ini dijalankan dan menekankan akan peranan dan tanggungjawab sebagai seorang Kuartermaster Sarjan Rejimen di dalam unit. Diakhir ucapan, dengan kalimah kebesaran Ilahi beliau meresmikan penutupan Kursus Kuartermaster Sarjan Rejimen Sesi 2021.
Bagi Penuntut Terbaik Amali dan Penuntut Terbaik Pembentangan disandang oleh 16297 SSjn Hj Suhaili bin Hj Mustapha, daripada unit Kompeni Markas Tentera Darat Diraja Brunei. Manakala bagi Penuntut Terbaik Akademik dan Penuntut Terbaik Keseluruhan disandang oleh SSjn Afandy@Ahmad Zaki bin Hj Awg Tengah, daripada unit Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei. Majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat yang dibacakan oleh 16949 SSjn Muhammad Sumardy bin Sulaiman, yang juga merupakan anggota peserta kursus dan sesi bergambar ramai.