BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad 2 Sept 2018 – Sambutan Hari Belia Kebangsaan disambut setiap tahun pada 1 Ogos. Pada tahun ini, Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-13 dianjurkan oleh Kementerian Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah mengadakan Acara Riadah Berbasikal Belia Kebangsaan. Kementerian Pertahanan dan ABDB tidak terkecuali turut menceriakan dan memeriahkan suasana di Bandar Seri Begawan dengan menyertai Acara tersebut.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Bagida Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyertai acara Riadah Berbaskal Hari Belia Kebangsaan 2018 yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘ Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri. Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolqiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Mu’min.
Upacara pelepasan riadah berbasikal bermula sejurus hon udara dibunyikan di mana Baginda Sultan mendahului riadah berbasikal sejauh 11.49 kilometer mengelilingi pusat bandar dan melintasi jalan-jalan utama antaranya Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Jalan Kianggeh, Jalan Sekolah, Jalan Kumbang Pasang, Jalan Perdana Menteri, Jalan Haji Basir, Jalan Sultan dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.