PENANJONG GARISON, KHAMIS 23 OGOS 2018 - Upacara Perbarisan Tamat dan Penutup Kursus Jurulatih Kawad Siri 1/2018 telah berjalan dengan lancar dan sempurna. Seramai 45 anggota telah menamatkan kursus tersebut yang terdiri daripada pelbagai unit. Seramai 43 anggota daripada unit Tentera Darat Diraja Brunei, seorang dari Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei manakala seorang anggota dari Pasukan Polis Diraja Brunei. Kursus ini berjalan selama 8 minggu yang dikendalikan sepenuhnya oleh Cawangan Latihan Kawad, Sekolah Infantri IL ABDB. Kursus Jurulatih Kawad adalah salah satu kursus mandatori yang dihadiri PTB Rendah yang berpangkat Soldadu ke Kopral khasnya daripada unit Batalion Infantri Tentera Darat Diraja Brunei.
Hadir selaku Tetamu Kehormat, 668 Mejar Haji Mohammed Airul Wizam bin Haji Ahmad, Pegawai Memerintah Sekolah Infantri Institut Latihan ABDB. Turut hadir diupacara perbarisan ialah Pegawai-Pegawai jemputan termasuk daripada Pasukan Polis Diraja Brunei, Sarjan Mejar unit, Garison Sarjan Mejar serta PTB Kanan jemputan. Perbarisan Tamat Kursus ini diadakan bertempat di Padang Kawad Institut Latihan ABDB dengan pertunjukan kawad kaki dan senjata dalam masa perlahan dan cepat jalan daripada peserta kursus diiringi oleh Pasukan Serunai dan Tambur daripada Batalion Kedua Tentera Darat Diraja Brunei.
Seramai 3 anggota telah terpilih sebagai Penuntut Terbaik dalam kategori masing-masing. Penuntut Terbaik Bahagian Teori disandang oleh 18617 LKpl Md Shazmeelshah bin Omarsah daripada Batalion Kedua TDDB, Penuntut Terbaik Bahagian Amali disandang oleh 50489 Sld Md Hazwan bin Hj Mat Bakar daripada Batalion Ketiga TDDB manakala Penuntut Terbaik Keseluruhan bagi Kursus Jurulatih Kawad Siri 1/2018 disandang oleh 18165 Kpl Sharul Hamdi bin Hj Awg Tengah daripada Batalion Kedua TDDB.