PENANJONG GARISON, Jumaat 14 Oktober 2016 Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB), satu sesi permuzakarahan telah berlangsung bertempat di Pusat Evolusi bersama Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Sesi permuzakarahan tersebut bertujuan untuk membuat perjumpaan dan bermuzakarah secara langsung dengan Pegawai-pegawai dan jurulatih-jurulatih Kompeni Rekrut.

Sesi tersebut dimulai dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh 16982 Sjn Mohd Harun Al Rasyid dan seterusnya ucapan kata alu-aluan dari Komandan Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Semasa sesi permuzakarahan tersebut, Yang Dimuliakan Pehin Pemerintah ABDB telah menyampaikan pandangan peribadi beliau mengenai dengan tanggungjawab jurulatih yang berisiko tinggi dalam mengharungi cabaran dalam mendidik pelapis baru Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Yang Dimuliakan Pehin Pemerintah ABDB juga menekankan agar jurulatih-jurulatih akan tetap bersemangat dan mengikut garis pandu yang telah ditetapkan. Semasa sesi tersebut Yang Dimuliakan Pehin Pemerintah ABDB juga membukakan sesi soal jawab bersama jurulatih-jurulatih bagi mengongsikan apa juga pandangan serta permasalahan yang dihadapi dalam tugasan. Sesi perjumpaan tersebut disudahi dengan bacaan doa selamat dan sesi bergambar ramai dengan pegawai-pegawai dan jurulatih-jurulatih kompeni Rekrut.