PENANJONG GARISON, Isnin 23 Julai 2018. Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB), satu sesi perjumpaan telah berlangsung bertempat di Dewan Nikmat Penanjong Garison bersama Yang Mulia Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Sesi perjumpaan tersebut bertujuan untuk membuat perjumpaan dan bermuzakarah secara langsung dengan Rekrut Lelaki Pengambilan Ke-161 yang akan menamatkan Latihan pada hari Jumaat, 27hb Julai 2018 ini InsyaAllah.
Sesi tersebut dimulai dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh 18032 Kpl Nazirul bin Hj Asmat. Semasa sesi perjumpaan tersebut, Yang Mulia Pemerintah ABDB telah menekankan empat aspek utama iaitu Profesionalisma, Disiplin, Kebajikan dan Sekuriti yang mana empat perkara ini adalah mustahak untuk diamati oleh para rekrut khususnya apabila mereka sudah menamatkan latihan ataupun ditempatkan ke unit masing-masing di dalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Semasa sesi tersebut Yang Mulia Pemerintah ABDB juga membukakan peluang sesi soal jawab bersama para rekrut bagi mengemukakan apa juga pandangan serta permasalahan yang dihadapi semasa mahupun selepas latihan. Sesi perjumpaan tersebut disudahi dengan bacaan doa selamat dan menandatangani Lembaran Kenangan.