moipeg21.jpgPENANJONG GARISON, Jumaat, 22 Januari 2021 – Majlis Penyampaian Sijil dan Penutup Kursus Kaedah Mengajar Siri 05/2020 telah berlangsung pada pagi Jumaat bertempat di Pusat Evolusi, Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (PE IL ABDB). 

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis adalah Yang Mulia Mejar Dayang Siti Nur’Afiqah binti Haji Awang Morsidi, Pegawai Memerintah PE IL ABDB. Turut hadir memeriahkan Majlis tersebut ialah Ketua-Ketua Cawangan dan Ahli Tetap PE IL ABDB.
Kursus Kaedah Mengajar Siri 05/2020 telah diadakan selama dua minggu, bermula pada 11 Januari 2021 hingga 22 Januari 2021. Kursus tersebut dihadiri oleh 15 Anggota terdiri daripada 02 anggota daripada IL ABDB, 03 anggota daripada Tentera Laut Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, 07 anggota daripada Tentera Darat Diraja Brunei, 01 anggota daripada Kementerian Pertahanan, 01 anggota daripada Rejimen Pasukan Khas dan 01 anggota daripada Pasukan Polis Diraja Brunei.
Asas bagi kursus tersebut adalah ilmu yang berteraskan teknik kejurulatihan yang dapat memudahkan tatacara mengajar dengan secara efektif dan efisien. Kursus ini juga bertujuan untuk menaik tarafkan kualiti, kelayakan dan kepiawaian jurulatih untuk mengajar yangmana ini adalah sebahagian daripada usaha untuk membantu bakal dan para jurulatih untuk mengajar dengan lebih sistematik, teratur dan yakin. Ilmu yang diperolehi diharap akan dapat diaplikasikan dan dipraktikan agar dapat melahirkan anggota-anggota yang berkebolehan dan kompetent sejajar dengan hasrat Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dalam meningkatkan keupayaan tentera.
Majlis dimulakan dengan ucapan daripada wakil peserta 1386 Lt Nur Hazirah binti Harun dan diteruskan dengan penyampaian sijil oleh Tetamu Kehormat Majlis. Majlis kemudian diserikan dengan penyampaian cenderahati daripada peserta kursus dan ucapan tahniah daripada Tetamu Kehormat. Majlis diakhiri dengan bacaan doa penutup dan sesi bergambar ramai.
moipeg1.jpg