PENANJONG GARISON, Jumaat 14 Jan 2022 – Majlis Penutupan Kursus Lanjutan Logistik Siri 1/2021 telah dilaksanakan secara maya oleh Cawangan Latihan Logistik, Sekolah Pertukangan Tentera IL ABDB.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis tersebut ialah 657 Lt Kol (U) Pengiran Muhammad Farisan bin Pengiran Haji Metassan, Pegawai Pemerintah Sekolah Pertukangan Tentera IL ABDB. Turut hadir dalam majlis tersebut terdiri daripada Pegawai Latihan, Jurulatih-Jurulatih Kanan, Jurulatih-Jurulatih Cawangan Latihan Logistik dan jemputan dari luar unit.
Seramai 43 anggota telah menghadiri Kursus Lanjutan Logistik Siri 1/2021 yang bermula pada 13 Disember 2021 sehingga 14 Januari 2022. Kursus ini dijalankan secara maya dan juga fizikal.
Kursus ini adalah merupakan kursus kerjaya yang perlu dihadiri oleh anggota-anggota yang bertugas di dalam unit-unit Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan tambahan pula kursus ini adalah mandatori bagi anggota-anggota yang menghadiri serta mendokong kriteria untuk sokongan kenaikan pangkat.
Melalui kursus ini, peserta-peserta kursus diberi penerangan secara maya untuk menambah nilai pengetahuan dan penekanan dalam pengendalian tugas dan tanggungjawab sebagi Pengurus Stor Kanan Kuartermaster mahupun Logistik. Ianya juga untuk memberi pengetahuan dan mengetahui tentang pengurusan dan perjalanan perakaunan stor yang mungkin dapat diaplikasikan di unit masing-masing.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan seterusnya ucapan dari Jurulatih Pengendali Kursus yang disampaikan oleh 21100 PW2 Noor Asmahwahni binti Yanau dan diteruskan dengan pengumuman penuntut-penuntut terbaik. Bagi Penuntut Terbaik Amali disandang oleh 17154 Kpl Mohammad Yusri bin Razali dari unit IL ABDB manakala Penuntut Terbaik Akademik sekaligus menjadi Penuntut Terbaik Keseluruhan bagi Kursus Lanjutan Logistik Siri 1/2021 disandang oleh 19225 Kpl Salim bin Adanan dari Markas Kumpulan Peluru, Depoh Logistik KBK TDDB.
Majlis diakhiri dengan ucapan daripada Yang Mulia Tetamu Kehormat serta menzahirkan ucapan tahniah kepada peserta-peserta kursus diatas usaha dan dedikasi yang ditunjukkan sepanjang kursus dijalankan dan diteruskan perasmian penutupan kursus, bacaan doa dan sesi bergambar ramai.

