PENANJONG GARISON, JUMAAT, 24 JANUARI 2020. Seramai 07 orang telah menghadiri Kursus Asas Bahasa Melayu Siri 2/2019 yang terdiri daripada 06 anggota tentera pinjaman luar negara (Loan Service) dan 01 orang awam. Majlis penutupan kursus berkenaan telah berlangsung di Bilik Mahkota, Pusat Evolusi, Institut Latihan ABDB. Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Cikgu Hajah Zaidah binti Hj Idris, Ketua Cawangan Teknologi Maklumat, Pusat Evolusi, Institut Latihan ABDB.

Kursus Asas Bahasa Melayu Siri 2/2019 telah dijalankan selama 3 minggu, iaitu bermula pada 06 Januari 2020 hingga 24 Januari 2020. Kursus ini diadakan khusus untuk anggota tentera pinjaman luar negara (loan service) yang sedang berkhidmat dalam ABDB. Tujuan kursus ini diadakan adalah untuk membantu peserta kursus berkomunikasi menggunakan struktur asas tatabahasa bahasa Melayu dengan baik sama ada secara lisan mahupun bertulis. Di samping itu, peserta kursus juga didedahkan dengan adat dan budaya masyarakat Brunei. Pelbagai aktiviti telah diungkayahkan bagi mencapai objektif kursus seperti latihan menulis, bertutur, mendengar, ujian dan lawatan sambil belajar ke Tamu Tutong.
Majlis dimulakan dengan ucapan daripada wakil peserta kursus, iaitu LS2202 Kapten Andrew Posner. Kemudian, Yang Mulia Tetamu Kehormat menyampaikan sijil-sijil kepada peserta kursus dan seterusnya memberikan ucapan penutupan kursus. Anugerah Penuntut Terbaik Keseluruhan bagi Kursus Asas Bahasa Melayu Siri 2/2019 telah disandang oleh Claire Fowler N Esbenshade.