PENANJONG GARISON, KHAMIS 29 MAC 2018. Pada hari ini, Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB) telah menjalankan lagi Penutupan Kursus Ketua Kompeni ABDB siri 4/2017, Kursus Tempur Platun Sarjan Sesi 2017 dan Kursus Penolong Ketua Seksyen Sesi 2017. Majlis Penutupan Kursus ini dirasmikan oleh Yang Mulia Leftenan Kolonel Pg Shariffuddien bin Pg Haji Yusof, Pemangku Komandan IL ABDB bertempat di Padang Tembak FFA, Binturan. Turut hadir di Majlis tersebut ialah Ketua Jurulatih IL ABDB, Pegawai Memerintah Sekolah Infantri IL ABDB, Pegawai-pegawai Jemputan dan Jurulatih Sekolah Infantri.
Sebelum Majlis dimulakan, Tetamu Kehormat dan jemputan yang hadir telah berkesempatan menyaksikan Persembahan Serangan Peluru Hidup daripada Peserta-peserta Kursus iaitu Eksesais Pahlawan Mantap. Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan penyampaian sijil-sijil dan ucapan daripada Pemangku Komandan. Dalam ucapan beliau, antara lain, beliau mengucapkan syabas kepada dan tahniah kepada 11 pegawai, 43 Ahli Kursus Platun Sarjan dan 44 Ahli Kursus Penolong Ketua Seksyen yang telah berjaya menjalani kursus ini.
Kursus ini bertujuan untuk melahirkan pagawai dan anggota yang kompeten dan berkeyakinan tinggi dalam membuat keputusan yang tegas. Selain itu, ianya juga dapat mempraktikkan kawalan dan perintah dengan yakin dalam perlaksanaan misi dalam semua spektrum operasi. Untuk memberkati majlis tersebut, Doa Selamat dibacakan dan seterusnya diakhiri dengan sesi bergambar ramai.


