
PENANJONG GARISON, KHAMIS 30 JANUARI 2020 – Majlis Penutup Kursus Kepimpinan & Pengurusan Sarjan Siri 2/2019 dan Kursus Kaedah Mengajar Siri 5/2019 telah berlangsung di Bilik Kuliah Halbi, Pusat Evolusi, Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB). Hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut ialah Mejar Dyg Siti Nur ‘Afiqah binti Awg Haji Morsidi, Pegawai Memerintah Pusat Evolusi, IL ABDB. Kursus Kepimpinan & Pengurusan Sarjan Siri 2/2019 telah dijalankan selama empat minggu bermula pada 06 hingga 31 Januari 2020 dan Kursus Kaedah Mengajar Siri 5/2019 bermula 20 hingga 31 Januari 2020.
Seramai 57 orang anggota ABDB telah menghadiri kursus Kepimpinan. Salah satu tujuan kursus ini dikendalikan adalah untuk meningkatkan kemahiran kepimpinan, intelektual dan kerja bagi peringkat PTB Kanan. Peserta Kursus juga didedahkan dengan kaedah Pengurusan 4P dan Leadership Development Programme. Ianya juga untuk mempersiapkan peserta kursus untuk mempraktikkan pelajaran yang telah dipelajari di unit masing-masing.
Manakala bagi Kursus Kaedah Mengajar telah dihadiri oleh 13 orang anggota ABDB termasuk anggota dari PDB. Peserta kursus telah didedahkan kepada kaedah-kaedah dan amalan-amalan terbaik dalam penyampaian sesuatu mata pelajaran sama ada dalam bentuk teori mahupun praktikal. Ianya juga membantu peserta kursus untuk lebih memahami peranan sebagai seorang penyampai ilmu atau jurulatih.
Seterusnya Tetamu Kehormat Majlis berkesudian untuk menyampaikan sijil serta menzahirkan ucapan tahniah kepada semua peserta-peserta kursus di atas usaha yang jitu serta dedikasi di sepanjang kursus ini dijalankan. Dalam kesempatan itu juga, Tetamu Kehormat Majlis juga menjelaskan bahawa kursus-kursus yang dihadiri merupakan titik permulaan bagi anggota sebagai tulang belakang dan membantu memimpin organisasi mencapai kecemerlangan.

