PENANJONG GARISON, KHAMIS, 29 NOVEMBER 2016 – Kursus Junior Officer Tactic Course (JOTC) yang telah bermula sejak 10 Oktober 2016 telah berakhir pada hari ini. Majlis bagi meraikan penutup kursus JOTC telah sempurna dilaksanakan bertempat di Sekolah Infantri Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Yang Mulia Kolonel Awang Khairul Hamed bin Hj Awang Lampoh, Komandan Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut. Seramai 24 Pegawai telah lulus dan berjaya menamatkan kursus JOTC. Beberapa Pegawai Kanan daripada unit-unit ABDB juga turut hadir sebagai jemputan khas semasa majlis penutup kursus tersebut.
1069 Lt Adibah bte Haji Mohamed daripada Unit Perundangan ABDB telah berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang dan meraih gelaran Penuntut Terbaik Keseluruhan. Di antara isi kandungan ucapan penutup kursus yang disampaikan oleh Tetamu Kehormat, beliau memberikan ucapan tahniah dan mengingatkan kepada peserta kursus bahawa kursus berkenaan adalah sebagai satu pelaburan yang berharga daripada ABDB kepada semua penuntut dan seterusnya menekankan agar penuntut akan dapat mengaplikasikan ilmu yang diperolehi di bidang kerjaya masing-masing. Majlis penutup kursus diakhiri dengan sesi bergambar ramai.

