PENANJONG GARISON, Khamis, 08 November 2018 – Majlis Pembukaan Dikir Syarafil Anam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wassalam bagi tahun 1440 Hijrah telah diadakan pada petang ini di Surau Al-Hikmah Penanjong Garison.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Leftenan Kolonel Haji Rony Zai bin Haji Zaini, Pegawai Pemerintah Batalion Bantu Tentera Darat Diraja Brunei (Bn Bantu TDDB). Turut hadir bagi meraikan majlis ialah Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai dan anggota-anggota Penanjong Garison.
Majlis dimulakan dengan bacaan Ayat-Ayat Suci Al-Quran, Surah Al-Ahzab Ayat 21 – 25 dan diikuti dengan Solat Fardhu Maghrib Berjemaah, bacaan wirid dan doa. Sejurus selepas itu, bacaan dikir beramai-ramai dimulakan.
Sebelum bersurai, majlis diteruskan lagi dengan Solat Fardhu ‘Isya berjemaah, bacaan wirid dan doa, dan diakhiri dengan bacaan doa penutup. Acara dikir ini akan diadakan setiap malam sehingga 19 November iaitu malam sebelum sambutan Maulud Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassalam.


