TUTONG KEM, Selasa, 09 Sya’aban 1442H bersamaan 23 Mac 2021M – Majlis Makan Malam Beradat Kursus Kepimpinan dan Pengurusan Pegawai Waran Siri 02/2020, telah diadakan bertempat di Mess PTB Kanan Batalion Kedua Tentera Darat Diraja Brunei. Kursus dijalankan selama empat (04) minggu bermula 03 Mac 2021 hingga 26 Mac 2021.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Kolonel (U) Haji Haszahaidi bin Haji Ahmad Daud, Komandan Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB). Turut hadir bagi majlis tersebut ialah Timbalan Komandan IL ABDB, Pegawai Pemerintah dan Memerintah Sub-Unit IL ABDB, Pegawai-Pegawai Jemputan, Sarjan Mejar Rejimen IL ABDB, Sarjan Mejar Rejimen Bn Kedua, Jemputan-Jemputan dan Jurulatih-jurulatih serta peserta kursus seramai 60 anggota.
Majlis Makan Malam Beradat merupakan salah satu silibus regimental yang diajarkan dalam program Kursus Kepimpinan dan Pengurusan Pegawai Waran. Kepentingan tujuan pembelajaran adalah bagi memberi pendedahan kepada keunikan Makan Malam Beradat tentera dan juga pendedahan kepada mereka yang belum ada kesempatan untuk menghadiri.
Antara lain isi kandungan yang dipelajari seperti susunan aturcara yang meliputi daripada Perancangan, Penyusunan, Pengarahan dan Pengawalan PTB Kanan dalam mengungkayahkan acara tersebut. Turut dititik beratkan ialah etika-etika dan peradaban Makan Beradat yang perlu disusun rapi oleh peserta kursus.
Meskipun Makan Malam Beradat itu merupakan tradisi Barat, akan tetapi ia diolah dan dipadankan dengan falsafah MIB. Salah satu pembaharuan yang telah diajarkan ialah penyerapan Sunnah Islam ke dalam susunan aturcara Makan Malam Beradat iaitu memulakan hidangan dengan memakan buah-buahan.
Dalam ucapan Yang Mulia Tetamu Kehormat pada malam itu berharap Peserta Kursus dapat menghayati majlis tersebut walaupun ianya jarang sekali diadakan kerana ia merupakan adat ketenteraan yang harus dipraktikkan dan tidak merasa janggal apabila ianya diadakan.
Sehubungan itu Yang Mulia Komandan turut menegaskan agar apa yang dipelajari digunapakai dan bukan hanya sekadar (tick in the box).




