
Tujuan utama eksesais ini adalah untuk memberikan pendedahan serta meningkatkan kemahiran peserta kursus dalam tatacara pengendalian operasi hutan peringkat platun. Diantara kursus-kursus yang terlibat dalam eksesais tersebut adalah Kursus Tempur Ketua Platun seramai 15 pegawai-pegawai berpangkat Lt terdiri daripada 11 anggota dari Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), 3 anggota dari Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) dan 1 anggota dari IL ABDB. Manakala, seramai 23 anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) menghadiri Kursus Tempur Platun Sarjan.
Sebaik tiba di kawasan eksesais, Komandan IL ABDB telah diberikan taklimat eksesais yang telah disampaikan oleh Pegawai Pengendali Latihan, Lt Muhammad Azmi Bin Abd Latip. Selepas sesi taklimat, rombongan lawatan beredar untuk melihat secara dekat perlaksanaan serangan akhir (Final Attack) oleh peserta-peserta kursus. Yang Mulia Komandan berkesempatan menyampaikan kata-kata nasihat dan mengongsikan pengalaman beliau mengenai kepentingan bagi memperkasakan asas-asas ketenteraan.


