PENANJONG GARISON, Selasa, 23 Oktober 2018 - Yang Mulia Kolonel Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, Komandan Institut Latihan telah menerima  kunjungan perpisahan dan pengenalan dari Yang Mulia Kolonel (Czi) Widiyanto, bekas Atase Pertahanan Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam dan Yang Mulia Kolonel Zaenal Arifin, Atase Pertahanan Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam yang baru, petang tadi bertempat di Mes Pegawai Penanjong Garison.
Semasa kunjungan tersebut, Yang Mulia Komandan IL ABDB merakamkan penghargaan atas sumbangan Yang Mulia Kolonel (Czi) Widiyanto dalam usaha mempertingkatkan lagi hubungan pertahanan dan ketenteraan dua hala antara kedua buah negara dan seterusnya mengalu-alukan kedatangan Yang Mulia Kolonel Zaenal Arifin sebagai Atase Pertahanan Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam yang baru. Kedua belah pihak mengesahkan hubungan yang kukuh antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia dalam hubungan dua hala kedua buah negara secara keseluruhannya. 
Yang Mulia Kolonel Widiyanto juga merakamkan penghargaan beliau terhadap hubungan yang telah dijalin sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Atase Pertahanan di negara ini dengan harapan hubungan pertahanan dua hala akan berkembang di masa hadapan.
Turut hadir semasa kunjungan tersebut adalah Yang Mulia Timbalan Pegawai Pemerintah Rejimen Pasukan Khas, Timbalan Pegawai Pemerintah Batalion Bantu Tentera Darat Diraja Brunei, Pemangku Timbalan Komandan IL ABDB, Ejutan Garison Perkhemahan Penanjong, Yang Dipertua Mes Pegawai Penanjong Garison dan Pemangku Ejutan IL ABDB.
Lantikan Yang Mulia Kolonel (Czi) Widiyanto sebagai Atase Pertahanan Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam berkuatkuasa sejak 02 September 2015. Yang Mulia Kolonel Zaenal Arifin dijangka akan mengambil alih tanggungjawab sebagai Atase Pertahanan Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam pada bulan November 2018.