PENANJONG GARISON, Jumaat, 18 Februari 2022 – Bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun ke-60 atau Jubli Intan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Seramai 213 anak-anak cemerlang ABDB telah diraikan di dalam Majlis yang diadakan secara serantak di kesemua unit-unit di bawah ABDB pada hari ini. Tidak terkecuali, acara yang sama juga diadakan di Dewan Nikmat, Penanjong Garison.
Hadir sebagai tetamu kehormat di Dewan Nikmat Penanjong Garison adalah Brigidier Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abd. Kadir, Pemerintah Angkatan Bersama ABDB. Turut menyaksikan acara tersebut ialah Kolonel (U) Haji Haszahaidi bin Haji Ahmad Daud, Komandan Institut Latihan ABDB; Pegawai-Pegawai Kanan Angkatan Tentera, dan ibu bapa serta penjaga penerima anugerah.
Seramai 19 orang anak-anak pegawai dan anggota ABDB Institut Latihan ABDB dan Rejimen Pasukan Khas telah diberikan anugerah kecemerlangan dan penghargaan berupa sijil, wang tunai dan juga hadiah. Penerima-penerima anugerah terdiri daripada yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB), Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) dan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) pada tahun 2020. Anugerah tersebut adalah sumbangan dari Tabung Kebajikan ABDB dan penaja acara tersebut ialah Takaful Sendirian Berhad, Koperasi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (KOWIRA), S. Naaz Sendirian Berhad, The Cucur Tearoom, DCON Sendirian Berhad dan Isfahani Sendirian Berhad.
Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk memberi penghargaan kepada para pelajar di atas pencapaian cemerlang khususnya kepada anak-anak pegawai dan anggota ABDB. Ia juga memberi dorongan kepada anak-anak, di bawah bimbingan ibu bapa dan penjaga mereka, untuk bersaing dan mencapai prestasi cemerlang semasa peperiksaan. Majlis ini telah berjalan dengan jayanya mengikut garispanduan Kementerian Kesihatan yang telah ditetapkan.


