PENANJONG GARISON, Selasa 19 Mei 2020 – Markas Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB) pagi ini telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bersempena dengan kedatangan Bulan Ramadhan 1441H bertempat di Bilik Mesyuarat Markas IL ABDB.

Hadir di majlis tersebut ialah Yang Mulia Kolonel Mohammad Shafiee bin Haji Duraman, Komandan IL ABDB selaku tetamu kehormat majlis, Timbalan Komandan, pegawai-pegawai serta anggota Markas IL ABDB. Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dikepalai oleh yang mulia imam Surau Al-Hikmah Penanjong Garison. Bagi mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan bagi menangani penularan wabak Covid-19, majlis tersebut diadakan serba ringkas dengan bilangan yang terhad. Majlis disudahi dengan bacaan Doa Khatam Al-Quran, Doa semoga terhindar daripada segala wabak penyakit dan pengagihan bunga telur kepada pembaca.
Acara bertadarus Al-Quran ini telah dibuat di kesemua unit di dalam IL ABDB sejak awal Bulan Ramadhan bagi menyemarakkan lagi kedatangan bulan yang suci ini.